Saya masih ingat sewaktu pertamakali bertemu dengan seorang lagenda yang
masih hidup iaitu pelakon dan pengarah filem Melayu era 60an dan 70an,
Mat Sentol pada awal tahun 2009 dulu. Waktu itu saya dan rakan-rakan
sedang bersiap-siap untuk aktiviti busking di Pasar Seni.
Mat Sentol pula sedang melepak di satu sudut dengan seorang rakannya.
Jadi saya sempatlah bergambar dengan beliau petang itu, juga
berbual-bual sekejap. Waktu itu umur beliau dalam lingkungan 70an kalau
tak silap saya.
Sempat beliau melawak yang katanya filem P. Ramlee cuma ada tiga siri
seperti “Do Re Mi” atau “Bujang Lapuk” series tapi beliau punya lapan
siri yang judul ada judul “Mat” iaitu “Mat Tiga Suku” (1964), “Mat Raja
Kapur” ( 1967), “Mat Bond” (1967), “Mat Lanun” (1968), “Mat Toyol”
(1969), “Mat Karung Guni” (1970), “Mat Magic” (1971), “Mat Spy” dan “Mat
Tenggek” (1979)
Mat Sentol atau nama sebenarnya Mat Raship bin Yahya dilahirkan di Muar
pada tahun 1933. Memulakan kariernya sebagai pelakon di Cathay Keris
Film Production pada awal tahun 60an sebelum menjadi pengarah di Cathay
Keris pada tahun 1964.
Pendedahan awal dan bakatnya sebagai pelakon digilap oleh pelakon A.R.
Tompel yang aktif dengan rombongan Sandiwara Khencana di tahun 50an
dulu.
Kelebihan yang ada pada Mat Sentol adalah ideanya yang gila-gila dan
mendahului zamannya. Teknik pengarahannya memang penuh dengan eksperimen
yang kadang-kadang merapu dan tak masuk akal. Saya pun bukan faham
sangat plot cerita yang beliau arahkan kerana ianyaberbelit-belit tetapi
itulah magiknya filem-filem Mat Sentol.
Sebagai pengarah beliau seperti burung yang bebas singgah ke mana sudut
yang disukainya. Dengan kemudahan teknologi yang sangat terhad pun
beliau masih mampu berkesperimen, yang itu saya sangat salut!
Kebanyakan muzik dalam filem-filemnya berkonsepkan A Go Go yang agak kebaratan sesuai dengan trend muzik di zaman itu.
Seperkara dalam kebanyakan filemnya jika ada para pelakon Inggeris yang
berlakon hanya diberi watak pembantu atau watak jahat sahaja berbeza
dengan pandangan masyarakat kita waktu dulu dan kini yang biasanya
terlalu menyanjung orang Inggeris.
Baru-baru ini saya ada terbaca di dalam sebuah akhbar harian tentang
keluh-kesah dan nasib Mat Sentol yang merasakan dirinya sudah
dipinggirkan oleh industri filem tanahair. Nasib orang lama selalunya
begitulah, sering merasa terpinggir dan dipinggirkan.
Saya selalu merasakan bahawa nasib sering tidak menyebelahi golongan
pelakon veteran khususnya walaupun mereka bertaraf “legend”. Salah satu
sebabnya di waktu itu para pelakon kebanyakannya dibayar gaji bulan
berserta insentif. Itu baik tetapi hanya bagus di waktu itu sahaja
kerana apabila syarikat ditutup maka nasib para pelakon agak
terumbang-ambing.
Itu yang berlaku pada syarikat pengeluar filem besar dulu seperti Studio
Malay Film Production dan Cathay Keris Film Production. Jelas mereka
seperti golongan buruh yang bekerja untuk mengkayakan lagi para towkay
syarikat filem.
Itulah pentingnya jika ada royalti untuk para pelakon seperti yang
dicadangkan oleh persatuan Seniman yang diterajui oleh presidennya, Zed
Zaidi. Sekurang-kurangnya ada bekalan untuk hari tua mereka.
Di negara kita ini terlalu banyak persatuan yang wujud seperti Karyawan,
Seniman dan Papita antaranya. Semuanya dalam misi dan visi yang sama,
membantu golongan para pengkarya.
Sejauh mana ianya berkesan itu tidak dapatlah kita pastikan sangat
melainkan yang saya pasti setiap persatuan itu biasanya ada peruntukan
dan budget dari kerajaan, maka gunakanlah ianya kearah kebaikan.
Selepas eranya sebagai pengarah filem semakin perlahan, Mat Sentol
beralih pula ke bidang penerbitan dan menjadi pengarah iklan di awal
tahun 80an dulu. Kita masih ingat iklan beliau yang terkenal untuk
produk keropok, “Tora Datang Lagi” yang mana iklannya memang berkesan
untuk golongan kanak-kanak di zaman itu, termasuklah saya.
Mat Sentol pernah mendapat anugerah Karyawan Filem Veteran sewaktu
berlangsungnya Festival Filem Malaysia ke-14 yang diadakan di Ipoh pada
tahun 1999 dulu.
Kita memang sering terlambat dalam banyak hal dan perkara namun
sekurang-kurangnya jika ada keazaman untuk berubah ke satu arah yang
lebih baik, itu sudah cukup bagus.
Dari segi idea, bagi saya tidak ada filem komedi Melayu hari ini yang
rugged seperti filem-filem Mat Sentol. Untuk genre filem komedi, yang
paling hebat dan meletup di pasaran mungkin filem Senario atau untuk
zaman ini filem-filem kelakar seram yang berlambak di pasaran.
Saya pun tidaklah mengikuti sangat perkembangannya kerana biasanya
pelakon komedi hari ini lahir dari program pertandingan lawak yang boleh
kita tonton di kaca TV. Banyak program lawak yang boleh kita tonton
hari ini kerana penerimaan masyarakat yang positif.
Cuma kebanyakan yang dihidangkan kepada kita adalah ramuan yang sama sahaja, tidak ada yang istimewanya.
Apabila pertama kali saya menonton pelakon lawak terkenal tanahair
Saiful Apek, saya rasa beliau banyak terpengaruh dengan idea dan gaya
Mat Sentol di awal kariernya dulu.
Dari zaman berzaman pelawak kita bertukar ganti bermula era 50an
sehinggalah ke zaman ini. Hari ini pelawak yang paling popular mungkin
Zizan dan Johan atau Nabil? Program-program lawak pula sudah terlalu
banyak yang kita boleh tonton di TV Astro khususnya.
Ianya hanyalah kesinambungan watak-watak yang datang dan pergi dalam
hidup kita, namun selagi mereka itu masih hidup, lakukanlah sesuatu atau
jenguk-jenguklah nasib mereka.
Bak kata pepatah, yang lama itu jangan dilupakan.
0 comments:
Post a Comment